assalamualaikum :')
beberapa hari menginap di hotel dan sekadar berjalan ulang alik ke masjid nabawi sahaja mula membuatkan ia seolah-olah rutin. dah tak rasa penat nak berjalan (yalah bukannya jauh sangat pun..) cuma cuaca panas buat kulit menggelupas dan kaki rasa macam nak melecur. nasib baik lantai marmar yang sejuk tu macam faham-faham sahaja perasaan budak-budak kecik yang merengek tak suka panas.
cubaan pertama mahu menjejakkan kaki ke raudhah, terpaksa pula membatalkan niat suci murni tersebut kerana terlalu ramai orang. timing yang tak sesuai. jadi ibu kata lepas subuh esok baru kita cuba sekali lagi. lepas subuh esoknya, berlari balik ke hotel untuk sarapan dengan laju-laju (sebab takut terlambat) dan kemudiannya cepat-cepat patah balik nak masuk raudhah. alhamdulillah pintu dah bukak. masuk dan masuk dan jalan dan jalan (tak sangka aku masjid nabawi sangattttttttt besar) sampailah ke suatu lapangan yang aku nampak sudah ramai orang duduk dan solat. rupa-rupanya yang nak masuk raudhah ni ikut giliran negara!
buatlah solat tahiyatul masjid, solat dhuha dan bertadarus empat lima page, giliran masih tak sampai. selalunya waktu-waktu macam ni kitorang bergelimpangan dalam bilik hotel, terbungkang tidur menghayati kenikmatan sejuknya pendingin hawa. tapi jangan tak tahu! aircond di masjid nabawi lagi kelassss... lagi sejuk, lagi sedap kalau tidur.
jadi dengan izin ibu, budak-budak kecik termasuklah aku ambik port paling best (dekat dengan tiang ber'aircond') lalu melelapkan mata barang seminit dua. tiba-tiba ibu kejutkan aku, dah sampai giliran. masuk ke dalam ruang yang lagi satu (semakin dekat dengan raudhah..tak sabar..) ibu ingatkan suruh ambik wudhu' sekali lagi, takut masa tidur wudhu' terbatal. hehe.. situ mana ada paip. tengah-tengah masjid kan? takkanlah aku nak keluar semata-mata nak berwudhu'.
jadi pertama kali dalam hidup aku ber'wudhu' dengan air zam-zam. selama ini aku ingatkan air yang diperlukan untuk berwudhu' ni banyak. rupa-rupanya tak sampai 3 cawan pun kalau kena caranya. sebab tulah orang yang menunaikan haji selalunya bawak sebotol air sekali, untuk berwudhu dan minum kalau haus.
tak terfikir aku betapa banyak air yang dah dibazirkan.. betul tak? sambil menunggu, sambung baca al-quran lagi. sebab ingat nak khatam di dua tanah haram ini. jadi haruslah usaha kan??
sambil menunggu tiba-tiba berdiri seorang wanita arab berpurdah ingin memberi tazkirah. aku kira usianya mungkin antara lewat 40-an ke awal 60-an. dia berdiri lalu memberi salam. kemudiannya disampaikan teguran yang ikhlas dari hati, yang bagi aku.. sangatlah betul! dia mengingatkan para muslimah supaya terus menutup aurat walaupun sudah pulang ke negara masing-masing nanti.
dengan ikhlas dia berkata, 'demi Allah, semua lelaki mahupun sepupu, pakcik, jiran atau ajnabi yang lain, mereka tidak mahu melihat aurat kita. jujurnya mereka tidak mahu. jadi jika kita yang menunjukkannya dengan mudah mengapa mereka yang harus menanggung dosa yang sama kerana melihat aurat kita. tolonglah mereka, dan tolong diri anda, tutuplah aurat dan masalah akan selesai'
aku sangat tersentuh sebab macam dah jadi kebiasaan. bila menunaikan umrah, subhanallah.. cantiknya bertudung litup (malah dalam group aku ada yang berpurdah kerana cuaca panas. bila panas pakai purdah, bila jalan-jalan tak pakai), tapi lepas dah menunaikan umrah, balik ke malaysia, tak kisah pun nak menayangkan auratnya semula (bagi sesetengah orang. alhamdulillah ramai yang menerima hidayah!) bagi mereka umrah ini seperti melancong!.
wanita yang berusia itu entah kemana hilangnya. lepas aku mengelamun berfikir tentang apa yang dia ingatkan itu, tiba-tiba dia dah hilang dari pandangan. agaknya dah duduk kembali, atau dia sudah keluar dari kawasan ini. pegawai yang bertugas kemudiannya membenarkan kami masuk. alhamdulillah, kiriman salam rindu dari sahabat-sahabat untuk rasulullah aku titipkan sebaik mungkin. berebutlah semua muslimah mahu masuk ke kawasan 'karpet hijau' yang ditanda sebagai kawasan raudhah. di sini merupakan tempat mustajab doa. jadi doa apa pun insya-Allah dimakbulkan.
aku tak lupa menunaikan solat sunat 2 rakaat. entah kenapa air mata mengalir dengan lebat. aku pun tak faham apa yang berlaku. lepas solat aku berundur memberi ruang untuk orang lain yang belum berkesempatan menunaikan solat sunat. masa inilah aku terperasan ada dua tiga wanita berpusing-pusing seolah-olah bertawaf di tiang. lalu dikucupnya tiang itu atas bawah atas bawah. ini antara contoh yang aku dah belajar dalam kelas tentang haji dan umrah. antara perbuatan yang khurafat yang biasa dilakukan oleh orang lain. tak sangka apa yang aku belajar boleh aku lihat sendiri.
pegawai mengarahkan kami keluar, sebab kumpulan besar yang lain pula mahu masuk ke sini. hati terasa sayu meninggalkan kawasan ini. barulah waktu itu aku merasakan cinta dan rindu kepada rasulullah. barulah waktu itu aku teringat semua pengorbanan dan kesakitan rasulullah menyebarkan dakwah islamiah. barulah waktu itu aku rasa mahu menangis semahu-mahunya.
kaki tetap melangkah, tanpa aku sedar aku dah pun berada di luar masjid nabawi. kaki melangkah lagi dan aku sudah pun berada di lobi hotel. entah apa yang aku fikirkan, aku rasa macam mahu terus tinggal di sini. solat berjemaah setiap hari dan setiap waktu solat. pergi awal ke masjid untuk Qiamullail. solat tahajud memang setiap hari ditunaikan. rindunya aku dengan suasana sebegitu. di sini, aku sudah tidak sama lagi..
PS I: alhamdulillah, antara doa aku yang telah Allah makbulkan ialah mengurniakan 11A kepada aku dan kawan-kawan aku yang lain.
PS II: doakan aku ke sana lagi boleh?
No comments:
Post a Comment